
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang mendakwa SPRM tidak menyiasat banyak kes yang diadukan kepada agensi tersebut.
SPRM dalam satu kenyataan turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen Bandar Kuching tersebut kononnya agensi penguatkuasaan itu pernah membuat kenyataan telah mencapai sasaran jumlah kes disiasat di Sarawak.
“SPRM tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian. SPRM memandang serius kenyataan Chieng Jen yang mendakwa gejala rasuah berleluasa di Sarawak dan Pejabat SPRM Sarawak tidak mengambil tindakan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, SPRM sebagaimana diperuntukkan oleh menyiasat setiap kes yang dibawa ke pengetahuan SPRM dan Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) SPRM akan menilai setiap aduan dan maklumat yang diterima dan akan menyiasat jika ada unsur rasuah.
Jelas kenyataan itu, apabila siasatan lengkap, kertas siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menentukan sama ada boleh dibawa ke mahkamah atau sebaliknya.
“Status setiap kes juga akan dibawa ke perhatian Panel Penilaian Operasi (PPO) yang merupakan salah satu badan bebas yang sebagai mekanisme ‘check and balance’. Bagi kes-kes yang tidak dibawa ke mahkamah, PPO mempunyai kuasa untuk mengarahkan siasatan lanjut dibuat jika perlu,” jelas kenyataan itu.
SPRM bagaimanapun memaklumkan sesetengah aduan atau maklumat yang diterima tidak cukup bukti dan situasi itu menyukarkan SPRM menjalankan siasatan dengan berkesan dan hingga ada pihak mendakwa SPRM tidak menjalankan siasatan.
Sehubungan itu, SPRM mengalu-alukan aduan atau penyaluran maklumat yang kukuh dengan bukti yang boleh membantu peranan SPRM serta menegaskan siasatan dijalankan tanpa mengira ideologi politik dan status seseorang.
SPRM dalam pada itu menambah, Ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) 2012 yang diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) pada 6 November 2013 antara lain menyebut SPRM melaksanakan tugas siasatannya berasaskan prinsip kebebasan, ketelusan dan profesionalismenya tanpa mengikut telunjuk atau arahan mana-mana pihak.
Malah menurut LPPR, kelewatan pendakwaan sesuatu kes yang berprofil tinggi adalah disebabkan oleh kerumitan serta kesukaran untuk mendapatkan keterangan yang boleh menjamin kejayaan kes-kes rasuah tersebut.
Justeru, SPRM berharap mana-mana pihak tidak membuat kenyataan atau dakwaan tidak berasas terhadap SPRM kerana SPRM memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak.
Oleh itu, SPRM menggesa Yang Chieng Jen mengemukakan butiran terperinci kepada SPRM jika ada kes atau aduan yang beliau mendakwa tidak disiasat oleh Pejabat SPRM Sarawak.
“Malah, wakil DAP yang menganggotai JKMR boleh membawa isu yang beliau bangkitkan pada sesi pertemuan Pengurusan SPRM dan JKMR yang akan diadakan dalam waktu terdekat ini,” kata kenyataan itu.
0 komentar:
Posting Komentar